Dua pegawai kanan polis ditahan SPRM

159

7 OKT: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan, dua pegawai kanan Bukit Aman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Tanpa mendedahkan perincian lanjut kes itu, Acryl Sani berkata, pihaknya belum mendapat laporan lengkap berhubung penahanan dua pegawai kanan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu.

“Setakat ini, kami masih menunggu sama ada dua pegawai itu ditahan atas kes cuci duit pengubahan wang haram atau kes lain.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan SPRM,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersil dan Pelancaran Portal Aplikasi Semak Mule, di Maktab PDRM Cheras, di sini.

Dalam perkembangan sama, Acryl Sani memberitahu pihaknya juga menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan sesetengah pihak di media sosial, berhubung penglibatan pegawai polis dalam sindiket ‘cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis sebelum ini.

“Kami menunggu hasil laporan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memanggil sepasang suami isteri bergelar artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.