Dadah RM11 juta, bom tangan dirampas polis

111

7 OKT: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas susulan penahanan enam lelaki tempatan serta rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM11.4 juta, dalam empat serbuan di sekitar Kota Damansara pada Isnin lepas.

Turut dirampas pelbagai jenis senjata termasuk bom tangan sekali gus menimbulkan kemungkinan sindiket ini turut mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, hasil risikan, serbuan dilakukan di empat lokasi berasingan kira-kira jam 10 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres dua tingkat di Seksyen 5, polis menemukan 50 bungkusan syabu dianggarkan seberat 51.5 kilogram (kg), serta 262 bungkusan bahan disyaki ‘heroin base’ seberat 98.25 kg disimpan dalam bilik tidur di tingkat bawah.

“Seorang suspek berumur 23 tahun ditahan di rumah berkenaan dan ini membawa kepada tangkapan dua lagi suspek berusia 19 serta 26 tahun dalam serbuan kedua di satu unit kondominium di Jalan Teknologi, Taman Sains Selangor.

“Pemeriksaan lanjut di unit kondominium itu menemukan tiga bom tangan, selaras senapang dan 140 butir peluru hidup disorok dalam satu kotak di dapur.

“Polis sedang menyiasat sama ada sindiket ini ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, dalam serbuan ketiga, dua ahli sindiket itu ditahan di sebuah stesen minyak di Persiaran Surian, manakala seorang lagi ditangkap di tepi jalan di Seksyen 5 dalam serbuan keempat.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

“Polis turut menyita tiga kereta jenis Toyota Camry, Honda Accord dan Perodua Bezza selain merampas wang tunai berjumlah RM1,806, tiga utas rantai emas, sembilan bentuk cincin emas dan dua utas jam tangan. Kesemua barangan ini dianggarkan bernilai RM98,162,” katanya.

Noor Azam berkata, lima suspek direman selama empat hari manakala seorang lagi tujuh hari dengan kesemuanya direman bermula semalam bagi membantu siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.