Wakil rakyat DAP tak faham tujuan Ops Benteng

284

6 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menempelak Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, P Kasthuriraani kerana tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan memperhebatkan Ops Benteng untuk menyekat pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada membolosi sempadan negara.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, alasan digunakan Khasthuriraani jelas menunjukkan wakil rakyat pembangkang kurang faham dan tidak jelas dengan tujuan sebenar kerajaan melancarkan Ops Benteng, sejak Mac lalu.

“Ahli Parlimen DAP ini tak puas hati kerajaan memperkasakan Ops Benteng untuk menyasarkan PATI membolos sempadan negara. YB DAP kata tindakan ini memangsakan PATI.

“Biar saya jelaskan supaya dia faham. Dari awal-awal lagi, semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula dan sebelum kita masuk bulan Ramadan, saya telah menyebut kawalan sempadan negara adalah keutamaan paling penting untuk membendung COVID-19 memandangkan jumlah kes di negara-negara jiran tertentu mula naik dengan mendadak,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Najib berkata, walaupun pada masa itu jumlah kes negara jiran masih di bawah Malaysia tetapi ramalnya negara-negara jiran tertentu yang merupakan sumber PATI paling besar ke Malaysia akan mengalami cabaran besar untuk mengawal COVID-19.

“Sempadan kita dengan negara jiran juga amat luas dan ianya amat susah untuk mengawalnya 100 peratus dan kita memerlukan kerjasama dari semua lapisan masyarakat,” katanya.

Berikutan itu, Najib menjelaskan beliau berpendapat itulah risiko paling besar memandangkan pintu masuk rasmi negara sudah dikawal ketat.

“Ramalan saya menjadi kenyataan. Jumlah kes COVID-19 negara-negara jiran tersebut kini telah mencecah 300,000 dengan kenaikan antara 2,000 hingga 7,000 kes setiap hari pada masa kini.

“Ia bukan kebetulan sahaja bahawa kes COVID-19 Sabah mula merebak di bahagian timur negeri tersebut kerana ianya adalah hotspot PATI dari negara jiran. Daerah itu hanya 18 batu nautika dari negeri jiran dan hanya perlu masa 20 minit sahaja dengan bot laju untuk ceroboh masuk ke Malaysia.

“Kemasukan secara besar-besaran PATI ke sana bulan lepas juga dipercayai berpunca dari mereka yang mempunyai dwikerakyatan yang cuba mengundi dalam PRN Sabah.

“Sejak bulan Mei lalu sehingga 29 Sept 2020, Ops Benteng yang dilancarkan kerajaan telah berjaya menahan 6,344 PATI, 750 tekong dan 295 penyeludup.

“Namun setiap hari, masih ada PATI dan penyeludup berjaya ditangkap dalam Ops Benteng. Menambah kepada kekecewaan negara ialah ada juga pegawai kerajaan yang ditangkap beberapa bulan lepas kerana bersekongkol dengan penyeludup,” katanya.

Justeru, Najib berkata Kasthuriraani dan PH perlu sedar bahawa niat kerajaan bukan untuk memangsakan PATI.

“Kita semua juga simpati pada mereka tapi ini bukan masa biasa-biasa di mana PATI cuma ambil pekerjaan tempatan tetapi ini dah jadi risiko keselamatan dan keselamatan negara. Ini bukan masa untuk PH menghasut rayat dengan membangkang dari longkang.

“Dua orang PATI yang positif COVID-19 mampu menyebabkan ribuan orang dijangkit seperti apa yang terjadi di lokap Lahad Datu bulan lepas. Tiada makna untuk Malaysia membendung COVID-19 yang kian meningkat pada masa kini jika risiko dari PATI dari negara-negara kes tinggi masih wujud,” katanya.

Berikutan itu, Najib berkata kerajaan juga disaran untuk meningkatkan lagi hukuman terhadap PATI, tekong dan penyeludup termasuk bertimbang untuk mengambil tindakan terhadap tekong, penyeludup dan pegawai kerajaan bersekongkol di bawah SOSMA.

“Berilah amaran amat tegas supaya mereka di negara-negara jiran faham bahawa kerajaan kita tidak akan ada kompromi sebab ini zaman krisis COVID-19.

“Majikan-majikan juga disaran untuk jangan mengambil lagi PATI sebab ianya hanya menggalakkan lagi ramai PATI untuk cuba nasib. Bila tiada bekalan, tiada lagi permintaan.

“Pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyeludupan juga perlu tahu bahawa tindakan mereka adalah khianat kepada negara. Hentikanlah! Jangan kerana ketamakan peribadi, keselamatan dan nyawa rakyat satu negara terancam.

“Masyarakat yang duduk dekat dengan sempadan darat dan pantai ada tanggungjawab dan peranan yang penting sebagai front-liner dalam perang COVID kita,” katanya yang turut mencadangkan supaya kerajaan juga boleh pertimbangkan memberi ganjaran yang berpatutan kepada mereka yang menyalurkan maklumat. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.