Takiyuddin kuarantin wajib sehingga 17 Okt

70

6 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan beliau turut menjalani kuarantin wajib di rumahnya mulai hari ini sehingga 17 Oktober ini.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Agung PAS berkata, proses kuarantin itu dikenakan ke atas beliau susulan kehadirannya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu.

“Susulan kehadiran saya dalam mesyuarat MKN pada Sabtu lepas serta berstatus kontak rapat, saya kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah hingga 17 Oktober depan.

“Maka, semua mesyuarat atau program yang membabitkan saya ditangguhkan seketika,” katanya.

Takiyuddin bagaimanapun bersyukur kerana keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalani semalam adalah negatif.

“Namun, saya masih perlu dikuarantinkan dan menjalani ujian saringan lagi pada hari kelima dan ke-13.

“Sementara itu, saya tetap akan terus menjalankan tugasan serta kerja-kerja berkaitan dari rumah.

“Terima kasih atas doa semua. Jaga diri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.