Suspek pencemaran air dikenal pasti

135

6 OKT: Suspek kes pencemaran Sungai Batang Benar sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada jutaan pengguna di beberapa daerah di Selangor telah dikenal pasti.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, suspek bukan penduduk tempatan, sebaliknya berasal dari negeri lain.

Menurut beliau, suspek akan dibawa ke Negeri Sembilan selepas proses tangkapan untuk siasatan lanjut.

“Pegawai dan anggota kita telahpun berada di sebuah negeri dan sebentar tadi saya telah berhubung dengan mereka dan mereka positif akan dapat menahan suspek.

“Siasatan dijalankan menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam,” katanya kepada media, di Negeri Sembilan, hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai yang telah dikenal pasti sebagai lokasi utama punca pencemaran yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sejak Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan yang turut meninjau lokasi berkenaan memberitahu kerja-kerja pembersihan di lokasi pencemaran sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seremban dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

“Setakat ini kita belum pasti sama ada sisa buangan itu adalah sisa buangan berjadual ataupun tidak. Sampel telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya, menambah keputusan dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai semalam yang disahkan pihak berkuasa sebagai punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua LRA iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.