Sarkas apa Anwar main kali ini?

1,076

Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

TANPA segan-silu Ketua Pembangkang, Datuk Sri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar beberapa hari sebelum rakyat Sabah keluar mengundi Sabtu 26 September lalu dengan dakwaan ‘I have the numbers’ kononnya majoriti Ahli-ahli Parlimen menyokong beliau untuk menuntut jawatan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah roboh dan beliau bakal membentuk kerajaan yang baharu.

Rata-rata rakyat Malaysia menepuk dahi dan menggeleng kepala; ‘sarkas’ apalah yang Anwar main kali ini?

roslan shahir
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

26 hari bulan rakyat Sabah keluar mengundi dan Warisan Plus yang didukung Anwar kecundang. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang naik.

Malah partinya PKR cuma menang dua dari 7 kerusi yang ditandinginya iaitu seorang dari KDM yang bukan Islam dan seorang Cina bukan Muslim.

Kalau benar Anwar punya ‘numbers’ dan masih popular dan disanjung pasti rakyat Sabah memenangkan kumpulan beliau tetapi tidak.

Sementara itu individu dan kumpulan yang kononnya didakwa menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri pula masing-masing menyangkal dan malah menyerang beliau.

Dan baru-baru ini berlegar lagi di media senarai 121 MP yang kononnya menyokong beliau. Nama seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut dilonggokkan sedang mereka ini yang paling vokal menolak Pakatan Harapan (PH) yang ditunggangi DAP!

Cukup-cukuplah membawa keresahan, ketidaktentuan dan porak peranda dalam negara.

Rakyat selesa dengan Perdana Menteri yang ada dan masa depan negara berdasarkan tujuh PRK lalu dan PRN Sabah ternyata terletak di tangan Muhyiddin, PN, Muafakat Nasional (MN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.

Anwar sudah jadi sejarah.

Penulis ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.