PRK Batu Sapi: Mesyuarat khas SPR 13 Oktober

137

6 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Oktober ini bagi membincangkan tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkenaan akan diadakan di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya, pada jam 10 pagi.

“Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR berkenaan akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Batu Sapi seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan.

“Ia juga akan membincangkan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya terbabit dan satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat berkenaan tamat,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Terdahulu, Ikmalrudin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Liew Vui Keong yang telah meninggal dunia pada 2 Oktober 2020 .

Ikmalrudin berkata, SPR berharap semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang.

“Sehubungan dengan itu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada 6 Oktober 2020, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi terbabit,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Vui Keong meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan paru-paru pada jam 11.50 pagi, 2 Oktober lalu.

Pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berusia 60 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.

Mendiang yang berasal dari Kota Belud dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menyandang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.