Ada pihak ambil peluang politikkan isu COVID-19 – PM

101

6 OKT: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah peningkatan kes COVID-19 yang sedang dihadapi negara.

Tegas Perdana Menteri, beliau dalam hal ini berharap semua pihak tidak mempedulikan mempedulikan golongan tersebut sebaliknya mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama.

“Mana-mana pandangan yang baik kita bincangkan di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan sentiasa mendengar dan memperbaiki serta menerima teguran dalam menangani wabak COVID-19.

“Yang penting ialah kita tidak mudah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak,” katanya dalam perutusan khas beliau mengenai perkembangan semasa kes COVID-19 hari ini.

Kata Muhyiddin, keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan khsususnya menerusi Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 adalah berasaskan kepada data dan fakta yang dikumpul menerusi sumber-sumber yang berotoriti.

“Yang penting ialah kita mesti bersama-sama dalam mengharungi
keadaan yang sukar pada masa ini.

“Saya harap saudara dan saudari tidak mudah panik atau membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang sedang dihadapi oleh kita semua. Elakkan penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, peningkatan kes COVID-19 khususnya di Sabah dan Kedah sebahagian besar akibat penularan dalam kalangan tahanan di penjara di dua negeri berkenaan.

Katanya, namun beliau juga mengakui kempen pilihan raya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes-kes COVID-19.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terpaksa diadakan apabila Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 30 Julai yang lalu.

“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Ia
tidak boleh ditangguh,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan SOP tertentu bagi memastikan wabak tidak merebak akibat kempen pilihan raya.

“Tetapi malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi. Misalnya penjarakan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi.

“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak sehinggakan saya terpaksa membuat SOP saya sendiri. Saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai.

“Ketika mula berucap, saya peringatkan semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Duduk jangan rapat-rapat, pakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan atau gunakan sanitizer. Setelah habis berucap,
saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa,” ujarnya.

Kata Muhyiddin, beliau juga mengingatkan pegawai-pegawainya supaya tidak mengatur kempen saya di kawasan Zon Merah.

“Walaupun menerima undangan, saya terpaksa tolak dengan baik. Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat. Tetapi saya juga memikirkan tentang kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir ke tempat-tempat berkempen, pegawai-pegawai saya dan diri saya sendiri.

“Namun, hakikatnya telah ada mereka yang dijangkiti COVID-19 ketika berada di negeri Sabah. Ini sesuatu yang amat mendukacitakan kita,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.