Tujuh menteri dikuarantin, semua kena patuh peraturan

133

6 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak ada double standard dalam soal kewajipan mematuhi kuarantin dan prosedur operasi standrd (SOP) kesihatan termasuk diri beliau sendiri walaupun merupakan ketua kerajaan.

Kata Muhyiddin, beliau menjalani kuarantin di rumah seperti mana SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mesyuarat yang dipengerusikannya Sabtu lalu turut dihadiri seorang anggota Kabinet yang disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, beliau juga tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP dan ini adalah kali kedua dirinya menjalani kuarantin di rumah sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Saya mesti patuh kepada peraturan. Bersama-sama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah ialah tujuh orang Menteri dan enam Timbalan Menteri.

“Kesemua mereka ini juga tidak terkecuali daripada mematuhi arahan kuarantin. Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar.

“COVID-19 tidak mengenal pangkat atau darjat. Virus ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan oleh kerana itu SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mesti dipatuhi oleh semua orang,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam perutusan khas mengenai perkembangan semasa COVID-19 yang disiarkan secara langdung oleh stesen televisyen utama negara.

Tegas Muhyiddin, kes-kes COVID-19 dijangka akan meningkat dalam waktu terdekat kerana pihak Kementerian
Kesihatan sedang menjalankan ujian saringan secara lebih agresif, termasuk di penjara dan pusat-pusat tahanan.

Katanya, sejak beberapa minggu yang lalu, kes-kes positif dalam kalangan tahanan di penjara menyumbang kepada sebahagian besar peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di negara ini.

“Sebagai ketua kerajaan, saya memantau secara dekat perkembangan kes-kes COVID-19. Saya akan membuat keputusan-keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat kita.

“Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau TEMCO di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah,” jelasnya.

Ujar Muhyiddin, walaupun berada dalam kuarantin, beliau mengadakan sidang video secara harian dengan Menteri-Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan untuk mengurus COVID-19.

“Ini adalah keutamaan saya pada masa ini. Inilah norma baharu yang sering kita perkatakan.

“Yang penting ialah kita mesti bersama-sama dalam mengharungi keadaan yang sukar pada masa ini. Saya harap saudara dan saudari tidak mudah panik atau membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang sedang dihadapi oleh kita semua.

“Elakkan penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.