LRA Sg Semenyih mula operasi pam air

58

6 OKT: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mula mengoperasikan pam air mentah pagi ini untuk kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, usaha merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa 12 jam sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna.

“Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti air dan pematuhan standard oleh Kementerian Kesihatan dan Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat mengikut kawasan apabila proses rawatan air dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau memberitahu, Air Selangor juga telah menggerakkan sebanyak 92 unit lori tangki ke premis-premis kritikal seperti sekolah serta kawasan yang terjejas.

“Sebanyak 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat dan 13 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna terjejas,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Elina berkata, ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk LRA Sungai Semenyih telah mencatatkan bacaan 0 TON tiga kali berturut-turut.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan ujian persampelan yang dijalankan sehingga jam 6 pagi tadi masih lagi mengesan pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada tahap 2 TON. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.