KPN kuarantin kendiri 14 hari

62

6 OKT: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan beliau perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari bermula hari ini.

Beliau berbuat demikian setelah menerima nasihat kuarantin daripada Kementerian Kesihatan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif COVID-19 dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

“Ya..saya berada dalam mesyuarat (Mesyuarat Khas COVID-19 bersama Perdana Menteri) dan saya dikategorikan sebagai “kontak jauh” oleh Kementerian Kesihatan.

“Namun saya masih perlu menjalani proses kuarantin diri di rumah seperti diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya telah menjalani ujian calitan petang semalam dan disahkan negatif,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Abdul Hamid merupakan antara pegawai tertinggi kerajaan yang hadir ke Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jabatan Perdana Menteri, pada 3 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, buat masa ini beliau tidak mengalami sebarang gejala dan sepanjang tempoh kuarantin, beliau perlu mengendalikan pemeriksaan diri menggunakan aplikasi MySejahtera serta akan menjalani ujian saringan sekali lagi pada hari ke-13.

Sebelum ini media melaporkan Zulkifli mengesahkan bahawa beliau disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadirannya sepanjang 24 September hingga 4 Oktober lalu supaya menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.