Kluster Batu dan Ramai-Ramai pula dikesan

133

6 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baru penularkan COVID-19 di Malaysia iaitu  Kluster Batu di Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sabah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Batu dikenal pasti di Taiping, Perak, hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

Dr Noor Hisham berkata, hasil saringan mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 semalam dan mereka semua dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 860 individu disaring iaitu tujuh positif, 182 negatif dan 671 masih menunggu keputusan.

“Kluster Ramai-Ramai dikenal pasti di Sandakan, Sabah yang mana kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12,161) adalah seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September lalu.

“Kes dikesan positif Covid-19 pada 3 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan,” katanya dalam sidang media hariannya di sini, hari ini.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata saringan kontak rapat dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Semua kes positif ini membabitkan warga negara Malaysia. Mereka dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent untuk rawatan,” katanya

“Malah, sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 166 individu disaring iaitu 20 dikesan positif Covid-19 dan 146 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.