JKR Sabah baik pulih jalan rosak akibat banjir

147

6 OKT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah diarahkan untuk memantau situasi dan mengambil tindakan membaik pulih jalan raya yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tindakan segera perlu diambil terutamanya di jalan-jalan raya yang mengalami tanah runtuh supaya penduduk tidak terjejas perhubungan mereka.

“Sekiranya jalan-jalan raya itu di bawah jagaan syarikat konsesi, mereka diminta mengambil langkah proaktif untuk membersihkan dan membaik-pulih runtuhan tersebut dengan kadar yang segera,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

BUNG MOKTAR RADIN
BUNG MOKTAR RADIN

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, bagi kes jambatan runtuh sebagaimana yang berlaku di Kampung Melangkap Kota Belud, pihaknya telah meminta pihak jurutera daerah dan Pengarah JKR meneliti kerosakan yang berlaku.

Bung Moktar menambah, sekiranya ia melibatkan tanggungjawab jabatan, tindakan serius akan diambil perhatian serius untuk memperbaikinya melalui peruntukan kecemasan.

Beliau juga akan melakukan lawatan ke beberapa tempat yang dilanda banjir itu untuk melihat sendiri punca berlakunya banjir kilat bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Bung Moktar memberitahu, kerajaan negeri Sabah juga akan menaik taraf sistem perparitan sebagai antara langkah bagi mengatasi banjir kilat di beberapa lokasi khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah yang berhampiran.

Beliau menyatakan, sistem perparitan sedia ada tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan rumah-rumah di kawasan tanah rendah dinaiki air.

“Banjir yang melanda ekoran hujan lebat agak luar biasa. Selain beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir kilat, beberapa daerah lain seperti di Kota Belud dan Tuaran turut mengalami banjir yang serius,” jelasnya.

Selain itu, Bung Moktar berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani masalah banjir kilat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.