Dr Zulkifli manfaat masa muhasabah diri

116

6 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 semalam, akan memanfaatkan masa yang ada sebagai peluang untuknya bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan juga sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku.

“Tempoh masa yang dikurniakan pada ketika ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan untuk masa mendatang.

“Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya hari ini.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut memuat naik kad laporan bagi bulan Ogos lalu bagi agensi di bawah portfolionya.

musaadah

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata setiap sen yang dibelanjakan bagi sebarang bentuk urusan berkaitan tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan adalah amanah daripada rakyat.

“Dalam masa yang sama, ia tetap menjadi amanah dan tanggungjawab buat saya dalam melaporkan sebarang perkembangan tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, setiap bulan sebagaimana yang saya lakukan sejak Mac lalu.

“Justeru, saya lampirkan di sini Kad Laporan Bulan Ogos 2020 bagi agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Beliau berkata, jadualnya bagi bulan terbabit, kebanyakan tertumpu di Parlimen namun agensi di bawahnya amat memahami dan tetap menggerakkan program masing-masing dengan penuh komited.

Katanya, kad laporan itu tidak melaporkan keseluruhan program dan aktiviti semua agensi di bawahnya dan menyarankan rakyat merujuk terus ke media sosial setiap agensi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya berharap kad laporan bulanan ini dapat memberi gambaran secara umum mengenai apa yang kami laksanakan setiap bulan terutamanya dengan fokus kepada pandemik COVID-19 pada masa ini.

“Semoga Allah SWT terus memayungi Malaysia dengan rahmat dan kasih sayang-Nya. Insya-Allah Kad Laporan September 2020 akan menyusul,” katanya.

Menerusi kad laporan itu, antara program yang dilaksanakan adalah penubuhan Jawatankuasa TaskForce Menangani Isu Agama di Media Sosial, Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan, Bantuan Musaadah COVID-19 dan sumbangan tabung makanan dan bantuan kepada golongan memerlukan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.