Bayi setahun antara empat korban Covid-19 terbaharu

84

6 OKT: Bayi perempuan berusia setahun adalah mangsa termuda antara empat korban terbaharu penularan pendemik COVID-19 yang dilaporkan berlaku di Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bayi perempuan itu mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna, 1 Oktober lalu, sebelum keadaan kesihatannya didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober dan bayi disahkan meninggal dunia 4.25 petang hari sama.

“Kes kematian ke-140 (iaitu kes ke-12432) merupakan bayi lelaki warganegara Malaysia berumur 1 tahun. Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang,” katanya pada sidang media di rumahnya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-138 membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020.

Beliau berkata saringan COVID-19 didapati positif pada 26 September 2020 manakala keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi Ahad lalu.

“Kes kematian ke-139 membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia juga berusia 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu.

“Saringan COVID-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi. Kes kematian ke-141 membabitkan lelaki rakyat Malaysia berusia 85 tahun. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki itu ditemui tidak sedar diri pada jam 7 pagi semalam dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata, kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.50 pagi semalam manakala saringan COVID-19 terhadapnya dikesan positif.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.