ADUN PAN Johor sah positif COVID-19

241

6 OKT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok yang sedang menjalani kuarantin sejak 26 September lalu disahkan positif COVID-19 semalam.

Perkara itu dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), yang memaklumkan keputusan pertama Nor Hayati adalah negatif yang diambil sebaik sahaja sahaja pulang dari Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) pada 26 September lalu.

Walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, wakil rakyat Parti Amanah Negara (PAN) Johor itu telah mengambil inisiatif sendiri melakukan kuarantin kendiri di kediamannya.

“Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober lalu dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya pada semalam yang beliau didapati positif COVID-19 dan kini sedang menerima rawatan,” katanya.

PKWR memaklumkan, Nor Hayati sentiasa mematuhi segala arahan KKM dan pihak bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam mencegah penularan.

Menurutnya, semua kontak rapat kepada beliau telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar telah menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat.

“Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan.

“Pihak kami memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh ini,” katanya.

Sementara itu, PKWR DUN Maharani menggesa agar warga Maharani tidak panik dengan mesej-mesej yang tular sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM sahaja. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.