691 kes positif tertinggi, 4 kematian

181

6 OKT: Kadar penularan COVID-19 kini semakin membimbangkan apabila jumlah kes positif menjangkau angka 691 di seluruh negara sekali gus menjadinya bilangan tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kedah terus menjadi penyumbang terbesar kepada penularan wabak COVID-19 dengan 397 kes baru termasuk 394 kes Kluster Tembok dan tiga kes lagi Kluster Bah Sintok dikesan, diikuti Sabah dengan 291 kes.

Menurut beliau, negeri-negeri lain seperti Selangor mencatatkan 38 kes baharu COVID-19, Perak (8), Negeri Sembilan (7), Johor (6); Kuala Lumpur (4), Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing tiga kes, manakala Terengganu, Putrajaya dan Labuan masing-masing satu kes.

“Sehingga 6 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, KKM ingin memaklumkan bahawa 394 kes telah dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah (iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) hari ini.

“Secara keseluruhannya, 691 kes baharu telah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 13,504 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,936 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media dari rumahnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada 691 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang membabitkan seorang warganegara (dari India) dan dua bukan warganegara mengembara dari negara Filipina dan Mesir.

Dr Noor Hisham berkata daripada 688 kes penularan di dalam negara, 661 kes adalah warganegara Malaysia dan 27 kes adalah bukan warganegara.

Katanya, daripada 688 kes terbabit, sebanyak 394 kes adalah kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah (iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) hari ini.

“Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM juga mengesahkan terdapat 87 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 10,427 kes (77.2 peratus) daripada keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 31 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lapan (8) kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau menambah, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19 justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes (1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Butiran kes kematian adalah seperti berikut:

  • Kes kematian ke-138 (iaitu kes ke- 11154) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020. Saringan COVID-19 didapati positif pada 26 September 2020. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi.
  • Kes kematian ke-139 (iaitu kes ke-12431) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020. Saringan COVID-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi.
  • Kes kematian ke-140 (iaitu kes ke-12432) merupakan bayi lelaki warganegara Malaysia berumur 1 tahun. Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang.
  • Kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13067) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental. Kes ditemui tidak sedar diri pada 5 September 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang. Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan COVID-19 dikesan positif. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.