Kes meningkat, kem PLKN jadi penjara sementara

215

6 OKT: Jumlah kes aktif COVID-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara seluruh negara kini berjumlah 1,126 kes dengan yang tertinggi dilaporkan hari ini melibatkan 453 kes.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, daripada jumlah itu, yang tertinggi adalah di Penjara Alor Setar dengan 950 kes termasuk 12 penularan melibatkan staf dan anggota keluarga mereka.

Zulkifli Omar

Kata beliau, kedua tertinggi mencatatkan kes COVID-19 ialah Penjara Tawau membabitkan 96 kes diikuti Penjara Pokok Sena dengan 64 kes.

Ujarnya, secara keseluruhannya, kes COVID-19 turut dikesan di tiga penjara lagi iaitu Pusat Koreksional Kamunting (lapan), Penjara Pulau Pinang (tujuh) dan Penjara Wanita Kajang (satu).

“Berikutan itu, Jabatan Penjara telah mengambil segala langkah mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak tersebut dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara.

“Bagi memperketatkan SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu, katanya, bagi mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara juga mengambil langkah tambahan dan drastik.

Menurut Zulkifli, antaranya pesalah kes dadah di bawah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Kihdmat Negara (PLKN) yang diwartakan sebagai penjara sementara.

Katanya, jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 orang banduan.

“Selain itu, kita turut melaksanakan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ke atas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari tiga bulan.

“Mengikut statistik Jabatan Penjara sehingga semalam, terdapat 11,018 banduan hukuman kurang dari satu tahun dan baki hukumannya kurang dari tiga bulan yang layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL.

“Semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan COVID-19 oleh KKM terlebih dahulu,” jelasnya.

Oleh yang demikian, tegas Zulkifli, Jabatan Penjara menyeru orang awam di luar penjara untuk bertenang kerana penularan COVID-19 dalam kalangan banduan dalam kawasan larangan penjara yang tertutup serta dikawal ketat.

Beliau seterusnya mahu orang ramai memberikan keyakinan penuh terhadap langkah-langkah segera yang diambil oleh pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat dari pihak KKM dan agensi-agensi Penguatkuasaan yang lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.