Sabah mohon MKN benarkan sekolah, tadika ditutup

47

5 OKT: Kerajaan negeri, hari ini, mencadangkan, semua sekolah menengah, rendah di Sabah termasuk taska, tadika, pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak ditutup serta merta berikutan peningkatkan kes positif COVID-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, berkata kerajaan negeri memohon berbuat demikian berikutan peningkatan kes positif COVID-19 yang meningkat kepada tiga angka bermula 1 Oktober lalu.

Hajiji berkata bilangan kes positif COVID-19 di Sabah juga terus tinggi iaitu 138 kes pada 1 Oktober, 133 kes (2 Oktober), 155 kes (3 Oktober) dan 126 kes (4 Oktober).

Berikutan itu Hajiji berkata, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah (JKBNS) COVID-19 juga memutuskan pelaksanaankan Kawalan Rentas Daerah Sabah, berkuat kuasa mulai, kelmarin.

Hajiji berkata JKBNS juga memutuskan pelbagai perkara lain termasuk hanya membenarkan premis perniagaan atau pasar raya yang menjual perkhidmatan dan barangan perlu beroperasi; tidak membenarkan ‘dine-in’ di kedai makan dan restoran.

“Kerajaan Negeri juga bercadang menutup Tamu (pasar terbuka), pasar malam, pasar tani serta semua rumah ibadat (termasuk masjid dan surau; gereja, tokong dan lain-lain); taman awam, pusat rekreasi, taman permainan dalam dan luar dewan; perpustakaan awam.

“Kita juga bercadang menutup semua sekolah termasuk taska, tabika dan tadika, pusat jagaan selain menghadkan kapasiti bas henti-henti kepada hanya 50 peratus daripada jumlah sebenar penumpang bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan negeri juga mencadangkan supaya stesen kuarantin diwartakan sebagai Wad Tambahan dan Rawatan Pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, Hajiji berkata perkara itu hanya boleh dilaksanakan dengan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelaksanaannya berkuat kuasa serta merta sehingga 16 Oktober depan.

“Semua rakyat Sabah juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.