PKPB di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan

88

5 OKT: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam, 7 Oktober 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB itu adalah tidak dibenarkan.

Menurut beliau, hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu yang dibenarkan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri turut menyatakan prosedur operasi standard yang ditetapkan di tiga kawasan PKPB terbabit:

• Kemasukan ke Sabah adalah tidak dibenarkan KECUALI bagi warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas-pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan pasangan yang menjalankan perkhidmatan perlu. Selain kategori ini, mereka diwajibkan mendapatkan kebenaran khas daripada kerajaan negeri Sabah.

• Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan/keperluan rumah.

• Perniagaan bukan perkhidmatan perlu hendaklah ditutup.

• Restoran, kedai makan dan kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang.

• Pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bungkus sahaja.

• Waktu operasi stesen minyak antara jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

• Operasi pasar harian adalah antara hingga jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.

• Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.

• Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

• Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

• Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi. Pergerakan petugas/ penumpang perlu mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

• Kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

• Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum dua penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja.

• Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

• Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.

• Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.

• Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

• Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu dengan kelulusan PDRM.

• Masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak.

• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, dan budaya adalah tidak dibenarkan.

• PDRM bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434

Ismail Sabri menambah, kerajaan akan terus berbincang dengan kerajaan negeri Sabah untuk memantau situasi di seluruh daerah dan akan mendapatkan nasihat KKM dari semasa ke semasa sebelum mengambil sebarang tindakan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.