Najib ramal PH kalah teruk PRN Sarawak

358

5 OKT: Pakatan Harapan (PH) dijangka kalah teruk sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam masa terdekat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin-pemimpin PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP dari Semenanjung mungkin berdepan kesukaran untuk berkempen di Sarawak.

Menurut beliau, masalah itu bakal berlaku memandangkang jumlah kes COVID-19 di luar Sarawak adalah lebih tinggi ketika ini.

“Sejak dua minggu lepas, Sarawak cuma rekodkan tiga kes COVID – kesemuanya kes import. Tiada penularan tempatan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Najib turut menyelar sikap hipokrit pemimpin-pemimpin PH yang ‘mengamuk’ apabila mengetahui PRN Sarawak mungkin diadakan lebih awal sebelum penggal berakhir secara automatik pada 7 Jun 2021.

Bekas Presiden UMNO itu hairan kerana mereka tidak pula mengecam Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada akhir Julai lalu.

Beliau memberitahu, ketika itu, jumlah kes COVID-19 di Sabah kembali meningkat dengan wujudnya penularan tempatan dan adalah lebih tinggi berbanding masa sekarang di Sarawak.

“Masa DUN Sabah dibubarkan, PH sokong penuh. Tapi bila Sarawak kata mereka perlu buat pilihan raya negeri dalam masa terdekat, orang PH mengamuk.

“Sarawak tak kata pun nak buat sekarang,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.