Malapetaka PH lebih dahsyat daripada COVID-19

1,115

Oleh MOKHTAR SENIK

ADA satu orang post dekat saya dan bertanya mengapa PAS khianati UMNO dengan mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN)?

Saya tanya dekat mana yang dikatakan khianat? Insya-Allah PAS sepanjang kerjasamanya dengan siapa pun telah membuktikan setia kawan yang tinggi. Jauh sekali berkhianat. (Sila rujuk kerjasama PAS dan Semangat 46 (S46) atau PAS dan DAP juga PAS dengan PKR).

Muafakat PAS dan UMNO adalah muafakat yang tidak mengikat antara satu sama lain. PAS bebas dan UMNO pun bebas.

MOKHTAR SENIK

Sebab itu PAS tak kisah hubungan UMNO dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN).

Namun, ada satu persepakatan iaitu mana-mana pihak tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau individu pimpinannya.

Atas dasar itu, PAS tiada hubungan dengan Parti Amanah Negara (PAN) atau DAP atau PKR. Juga tidak menyokong Lim Kit Siang atau Mat Sabu atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adapun Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah keluar dari PH. Maka di mana khianatnya PAS?

Kalau dalam diam-diam PAS dan Ahli Parlimennya menyokong Anwar dan berjanji untuk lantik Anwar sebagai Perdana Menteri maka itu baru dinamakan khianat.

Lalu perkukuhkan Muafakat Nasional (MN) ini sebaiknya dengan berpegang kepada piagam yang telah digariskan. Jangan layan pihak-pihak yang mahu pecahkan PN atau BN atau MN.

Jangan ambil sebarang pendekatan politik yang boleh mengembalikan PH dan DAP ke Putrajaya. Cuba belajar mengenali Aulawiyat Politik.

Kerana Aulawiyat Politiklah maka PAS sanggup tak bertanding walau satu kerusi pun di Sabah. Kerana bagi PAS, mengalahkan PH lebih penting dari PAS bertanding.

Dengan itu, semua pihak mesti memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya bertanding dua penjuru sahaja.

Jika ketiga-tiga parti utama PAS + Bersatu + UMNO gagal memutuskan pertandingan hanya dua penjuru, bermakna kita bersedia melihat PH kembali menjadi kerajaan.

Dan itu merupakan malapetaka yang lebih dahsyat daripada COVID-19 kepada negara ini.

Perlu diingat… bila keputusan dua penjuru diterima bermakna PAS perlu bersedia ada kerusi PAS yang terpaksa diserah kepada Bersatu atau UMNO.

Bersatu perlu bersedia jika ada kerusi Bersatu terpaksa diserahkan kepada PAS atau UMNO. UMNO pun kena bersedia menyerahkan kerusinya kepada Bersatu atau PAS.

Waktu inilah kematangan politik dan setia kawan semua pihak teruji. Ketamakan dan kesombongan diri akan menjadikan semua parti-parti terbabit bakal berpindah ke kerusi pembangkang di DUN dan Parlimen nanti.

Biar kita tak jadi tok imam asalkan solat dipimpin oleh imam yang sah.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Get real time updates directly on you device, subscribe now.