Bung Moktar, Mohamad Alamin nafi sokong Anwar

705

5 OKT: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menafikan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam komplotnya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah dan Mohamad membuat penafian itu berikutan nama mereka dikatakan antara Ahli Parlimen UMNO yang tersenarai menyokong Presiden PKR itu seperti tersebar dalam media sosial.

Sambil menegaskan beliau tidak tahu mengenai senarai berkenaan, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyatakan, dakwaan mengaitkan beliau dengan gerakan menukar kerajaan diketuai Anwar adalah palsu.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini. Saya hanya dimaklumkan kononnya nama saya ada dalam senarai yang disebarkan sebuah portal dan tular di media sosial.

“Berikutan itu saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan saya pernah atau terbabit menyokong gerakan menubuhkan kerajaan baharu diketuai Ahli Parlimen Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar sebelum ini mendakwa kononnya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkannya membentuk kerajaan baharu dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Semalam, satu senarai nama Ahli Parlimen dikatakan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri Kesembilan tersebar dalam media sosial.

Ia adalah senarai kedua selepas senarai awal sejurus Anwar membuat pengumuman berhubung dakwaan perubahan kerajaan pada akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyatakan senarai yang tular itu adalah tidak benar selain menafikan ia dikeluarkan parti berkenaan.

Sementara itu, Mohamad yang namanya turut didakwa menyokong Anwar, menyangkal dakwaan berkenaan selain menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kimanis itu menegaskan beliau kekal bersama UMNO dan menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau benar Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu, beliau sepatutnya membuktikan perkara itu di Dewan Rakyat, bukan di hotel atau sidang media,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.