Berita palsu babit Agong, Istana Negara bertindak

313

5 OKT: Istana Negara akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tindakan pihak tertentu yang menyalahgunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan institusinya untuk kepentingan peribadi dan politik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara memandang serius terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Seri Paduka dan institusinya untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.

Ahmad Fadil berkata, pihaknya sentiasa memantau dan memandang serius terhadap kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media yang menggunakan nama dan menyebarkan foto-foto Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong serta Istana Negara melalui applikasi WhatsApp.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan saja mencemarkan kredibiliti Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu Ahmad Fadil, berkata jika perlu, Istana Negara, tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada PDRM dan SKMM bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Dalam pada masa yang sama, Istana Negara menyarankan rakyat supaya tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.

“Istana Negara turut menyarankan supaya berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama untuk mengelakkan tindakan oleh pihak PDRM juga SKMM,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.