Bau pencemaran Sg Semenyih seperti bangkai

137

5 OKT: Pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di 274 lokasi sekitar Selangor dikesan mempunyai bau seperti bangkai.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca dikenal pasti di sekitar kawasan perindustrian Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

“Lokasi punca pencemaran sebenar masih sedang disiasat,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

semenyih
Tuan Ibrahim Tuan Man dan Amirudin Shari menunjukkan sampel air Sungai Selangor yang tercemar.

Beliau juga turun padang untuk meninjau situasi pencemaran lokasi pencemaran malam tadi bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya serta-merta mulai malam tadi berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke dua loji berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata, mengikut siasatan setakat malam tadi, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JAS) Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon memaklumkan, punca masih belum diketahui dan setakat ini, ia adalah berdasarkan andaian.

“Pertama, pencemaran berkemungkinan dari ladang itik di Kuala Sungai Pajam, iaitu bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Selangor, leachate (bahan larut leasp) dari tapak pelupusan Pajam dan seterusnya dari kawasan industri Nilai 2, iaitu mungkin dari kilang memproses telur ayam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, punca sebenar pencemaran masih disiasat dan pihak berkepentingan telah berada di lokasi di Batang Benar untuk melihat dan akan mengadakan perbincangan tindakan susulan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri Selangor sudah berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menggerakkan pelan bagi mengambil air dari Tasik Putrajaya sebagai alternatif jika berlaku gangguan bekalan air di Selangor.

“Kita sudah buat kiraan, jika berlaku pencemaran, kita boleh bertahan kira-kira tujuh hari (dengan air dari Tasik Putrajaya).

“Dengan komitmen diberikan oleh Menteri (Tuan Ibrahim) kita berharap masalah dapat diatasi dan kosnya kita sedia bincangkan,” katanya.

Amirudin menambah, pencemaran yang berlaku itu turut memberi kesan kepada kawasan Putrajaya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.