ADUN Kampung Tunku pula positif pulang kempen PRN

882

5 OKT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Selangor, Lim Yi Wei memaklumkan beliau disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Wakil rakyat DAP itu memberitahu, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah mengalami gejala berkaitan pada 30 September lalu.

“Saya mohon maaf kepada semua kakitangan KKM, sahabat perjuangan dan semua yang terkesan walaupun semua langkah berjaga-jaga dipatuhi semasa berkempen dan pengasingan kendiri sejak hari pertama (pulang).

“Saya juga menyeru semua yang mempunyai kontak rapat dengan saya sejak 14 hari kebelakangan ini untuk menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Lim Yi Wei

Katanya, sejurus kembali dari Sabah pada 27 September lalu, beliau menjalankan ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Sejak hari pertama, saya mengamalkan pengasingan kendiri di rumah. Pada 30 September, saya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya untuk mengetahui keputusan saya.

“Keputusan ujian saringan pertama saya adalah negatif dan saya dipanggil untuk menanggalkan gelang merah jambu saya keesokan harinya. Malangnya, saya mula mengalami gejala yang berkaitan dengan COVID-19 pada hari tersebut.

“Berdasarkan saranan PKD, saya menjalankan ujian saringan kedua pada 2 Oktober dan sambung pengasingan kendiri sehingga saya dimaklumkan keputusannya daripada PKD pada hari ini (5 Oktober),” ujarnya.

Menurut beliau, pasukan kempen yang bersama beliau mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama mereka pulang dari Sabah.

“Mereka juga mendapat keputusan ujian saringan pertama yang negatif dan akan menjalankan ujian saringan kedua dalam waktu terdekat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.