Sarawak sedia kaji semula dasar pembalakan

77

4 OKT: Kerajaan negeri Sarawak bersedia mengkaji semula dasar industri pembalakan jika ia bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan terlibat dalam industri berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara aspek yang diberi penekanan ialah penanaman semula hutan dan penyertaan rakyat dalam industri pembalakan negeri.

“Kalau mahu menstruktur semula industri pembalakan Sarawak, kita boleh struktur semula,” katanya semasa berucap di Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Zon Tengah Sarawak di Kuching, semalam.

Menurut beliau, penstrukturan semula itu termasuk memastikan pemegang lesen pembalakan di Sarawak memenuhi komitmen mereka untuk menanam semula hutan yang telah diteroka dengan pokok-pokok yang boleh mendatangkan hasil pendapatan.

“(Kita tahu) ada pemegang lesen pembalakan sebelum diberi lesen, menyatakan kesanggupan untuk menanam semula hutan yang mereka terokai bagi mengganti pokok-pokok yang telah ditebang, namun mereka sebaliknya tidak berbuat demikian,” jelasnya.

Abang Johari menambah, kerajaaan Sarawak sudah memiliki teknologi penggunaan dron untuk mengenal pasti kawasan-kawasan baharu, di mana pokok yang ditanam boleh ditebang dalam tempoh enam tahun sahaja.

Beliau memberitahu, Sarawak yang beriklim tropika, memudahkan benih-benih pokok untuk tumbuh subur dan membesar dengan pantas kerana ia boleh mendapat hujan dan cahaya matahari yang mencukupi.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Abang Johariberkata penambahbaikan dalam dasar pembalakan di Sarawak akan memberi penekanan terhadap penglibatan rakyat dalam industri berkenaan.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Sarawak akan membuat kajian menyeluruh sebelum penstrukturan semula dasar itu dilaksanakan.

“Dari sudut lesen, ada di bawah Yayasan Sarawak dan STIDC (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak), mungkin kita timbang kumpulan sasar yang boleh memegang saham dalam industri pembalakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.