Brunei henti keluar not B$10,000

145

4 OKT: Selepas lebih 30 tahun berada di pasaran, bank pusat Brunei bakal menamatkan pengeluaran dan pengedaran wang kertas tertinggi negara tersebut iaitu B$10,000.

Portal berita kewangan antarabangsa, MenaFN yang berpusat di Jordan melaporkan, pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan menyahsenaraikan denominasi itu bermula 2 November depan.

Serentak tarikh itu, wang kertas ringgit tempatan berkenaan akan ditarik keluar daripada semua bank di seluruh Brunei, lapor portal tersebut memetik akhbar harian berbahasa Inggeris, Borneo Bulletin.

“Walau bagaimanapun, wang kertas ini akan tetap sah di pasaran dan masih lagi mengekalkan kadar nilai mukanya,” kata AMBD menerusi kenyataannya bagi meredakan kebimbangan masyarakat Brunei.

Keputusan untuk menarik balik denominasi B$10,000 merupakan salah satu langkah dibuat oleh AMBD bagi mengurangkan ancaman risiko yang berkaitan dengan elemen jenayah kewangan komersial.

Ini termasuk untuk mengekang kegiatan pengubahan wang haram, aktiviti pembiayaan keganasan dan sindiket pemalsuan duit kertas dengan cuba mengeksploitasi nilai tinggi oleh kumpulan samseng tertentu.

Wang B$10,000 mula diterbitkan oleh pihak AMBD pada 1989 bersempena dengan usia lima tahun pasca kemerdekaan negara kecil yang kaya dengan minyak di ASEAN itu secara rasmi daripada penjajahan Britain.

Ia merupakan penerbitan siri ketiga mata wang Brunei selepas 1967 dan 1972 dengan menggunakan istilah ringgit bagi bahasa Melayu dan dollar dalam bahasa Inggeris serta simbol $ atau B$ atau kod BND.

Terdahulu, pemerintah Singapura menerusi bank pusatnya, Monetary Authority of Singapore (MAS) telah menghentikan pengedaran mata wang tertinggi republik tersebut iaitu S$10,000 pada 2014.

Situasi itu menjadikan Brunei muncul negara tunggal di dunia masih mencetak wang dengan nilai muka terbesar malah terbitkan jenis polimer pada 2006 yang memaparkan gambar bangunan Parlimen di wajah belakang.

Berkeluasan dimensi 180 x 90 milimeter, wang B$10,000 pernah diiktiraf sebagai paling bernilai di dunia setara USD8,300 pada 2011 sehingga permintaannya ketika itu melonjak mencecah B$1.5 bilion.

Namun, senario itu berubah menurun sebelum konsisten selepas 2013 dengan edaran hanya B$50 juta di pasaran setiap tahun dan diambil alih denominasi B$100 sebagai nilai kegemaran pengguna.

Dalam pada itu, pihak AMBD juga menggalakkan orang ramai supaya guna pelbagai kaedah pembayaran alternatif seperti kad debit atau kredit dan pembayaran atas talian untuk transaksi bernilai tinggi.

Peringatan tersebut sebagai langkah waspada untuk mengelakkan daripada bahaya kecurian atau rompakan oleh geng penjenayah terancang yang secara kelaziman sering sasar golongan peniaga tempatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.