293 kes jangkitan baharu COVID-19

146

4 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 293 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan berlaku hari ini, sekali gus menjadi jumlah kumulatifnya meningkat kepada 12,381 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu 292 kes membabitkan penularan tempatan dengan, masing-masing 269 rakyat tempatan dan 23 bukan warganegara, manakala satu kes lagi adalah kes import.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 28 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, selain tiada kematian dicatatkan, hari ini.

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa terdapat 67 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 10,283 kes (83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, 28 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM juga ingin memaklumkan daripada 293 kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan bukan warganegara mengembara dari negara Bangladesh ke Kuala Lumpur yang didapati positif hasil saringan sign-on.

Beliau berkata daripada 292 kes penularan di dalam negara, 269 kes adalah warganegara Malaysia dan 23 kes adalah bukan warganegara.


“Daripada 292 kes terdapat sebanyak 30 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 206 kes,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 126 kes berlaku di Sabah dengan 13 daripadanya  daripada Kluster Bangau-Bangau (12 warganegara dan satu bukan warganegara); 14 kes, Kluster Benteng LD (dua warganegara dan 12 bukan warganegara); empat kes kluster baharu iaitu Kluster Kau Sing (dua  warganegara dan dua bukan warganegara).

Manakala, 78 kes lagi dikesan menerusi saringan bergejala yang membabitkan 74 warganegara dan empat bukan warganegara; 12 kes saringan kontak rapat warganegara; dua kes saringan masuk kerja warganegara; satu kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) yang membabitkan warganegara; satu kes saringan komuniti dan satu (1) kes saringan masuk wad bukan warganegara.

“Di Kedah pula terdapat 113 kes baharu dilaporkan termasuk 112 kes daripada Kluster Tembok (111 warganegara dan satu rakyat asing) dan
satu kes daripada Kluster Bah Rose yang membabitkan warganegara.

“Selangor pula mencatatkan 31 kes termasuk 13 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang membabitkan warganegara;
13 kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara; tiga (3) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Embun yang melibatkan warganegara serta dua kes saringan kontak rapat warganegara,” katanya.

Katanya, lapan lagi kes baharu COVID-19 berlaku di Johor termasuk enam kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara dan Satu (1) kes saringan warga asing pulang ke negara asal dan satu kes saringan pekerjaan bukan warganegara.

“Lima kes baharu dikesan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan saringan terhadap mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah), manakala dua kes Kuala Lumpur pula membabitkan satu kes Kluster Jalan Meru dan satu kes saringan pulang dari Sabah.

“Negeri Sembilan dan Perak pula masing-masing mencatatkan dua kes membabitkan kes saringan individu pulang daripada kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah,” katanya.

Beliau berkata KKM juga mengesahkan satu kes berlaku di Pulau Pinang membabitkan saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11133 yang membabitkan warganegara.

“Di Kelantan membabitkan satu  kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) membabitkan warganegara; di Sarawak melibatkan satu (1) kes saringan sign-on,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.