Trump dirawat di hospital tentera

72

3 OKT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang disahkan positif COVID-19, percaya dia ‘dalam keadaan baik’.

Beliau membuat mesej berkenaan sebaik tiba di sebuah hospital tentera di luar Washington dengan helikopter bagi menjalani rawatan COVID-19.

“Saya sedang menuju ke Hospital Walter Reed. Saya rasa saya dalam keadaan baik tetapi kita akan berusaha pastikan ianya berhasil.

“Wanita pertama (Melania) juga dalam keadaan baik.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan luar biasa,” katanya menerusi mesej video pendek di Twitter pada Jumaat.

Kenyataan itu adalah komen awam pertamanya selepas dia bersama isteri, Melania disahkan positif jangkitan COVID-19 pada Khamis lalu.

Trump dalam ciapannya di Twitter sebelum ini mengatakan bahawa beliau dan Melania positif COVID-19 dan akan menjalani kuarantin.

“Malam ini, @FLOTUS (Melania Trump) dan saya disahkan positif COVID-19. Kami akan memulakan proses kuarantin dan pemulihan. Kami akan dapat mengharungi bersama,” kata Trump.

Terdahulu, Trump menerusi Twitter mengesahkan seorang daripada pembantunya Hope Hicks disahkan dijangkiti COVID-19.

Hicks, 31, mengembara dengan Trump beberapa kali minggu ini, termasuk ketika menaiki kapal Marine One, helikopter presiden, untuk kempen pemilihan presiden pada Rabu.

Trump dan Melania menjalani ujian saringan berkenaan selepas Hicks disahkan positif COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.