Timbalan Menteri Alam Sekitar positif COVID-19

381

3 OKT: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mengesahkan beliau dikesan positif COVID-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh sejak Khamis.

Menurut Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BBN) itu, ujian pertama yang dilakukan sejak pulang dari Sabah menunjukkan keputusan negatif.

“Saya buat lagi sekali pemeriksaan pada Rabu lalu sebab saya bercadang untuk masuk ke pejabat Isnin dan didapati positif walaupun tiada sebarang simptom.

“Saya kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak Khamis dan Alhamdulillah saya sihat. Sejak ujian pertama dibuat, saya tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk,” katanya sambil memaklumkan sudah menjalani kuarantin diri di rumah sejak pulang dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut Masrizal, ketika kempen PRN Sabah lalu, beliau ada terbabit dengan ceramah bersama seorang pemimpin kanan UMNO yang sebelum ini menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19.

“Terakhir sekali saya ceramah dengan beliau, dia balik Kuala Lumpur dan positif. Saya terus buat ‘PCR test’ selepas itu dan negatif,” katanya mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin diri sejak hari berkenaan.

Sebanyak 287 kes baharu COVID dilaporkan semalam yang tertinggi pernah dicatatkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.