Tiada syor tutup sekolah kecuali yang ada kes

109

3 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini belum mengesyorkan penutupan sekolah di seluruh negara di sebalik peningkatan kes baru COVID-19 kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penutupan sekolah hanya melibatkan sekolah yang mencatatkan kes.

Katanya, persekolahan boleh diteruskan tetapi mesti berlangsung dengan penuh hati-hati melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kalau sekolah ada jangkitan macam dalam kluster Tawar bila salah seorang guru positif di sekolah itu, baru kita syorkan penutupan.

“Setakat ini kita tidak syorkan penutupan, aktiviti persekolahan boleh berjalan tetapi dengan mematuhi sepenuhnya SOP,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Tambah Noor Hisham, kes baru COVID-19 mungkin akan terus meningkat dalam tempoh terdekat ini namun penularannya boleh dibendung dengan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan pematuhan SOP lain.

Katanya, ini seperti yang dibuktikan ketika gelombang terdahulu dan pastinya gelombang ketiga yang dihadapi negara ketika ini juga boleh diharungi sehingga penularannya diputuskan.

“Kita telah guna pakai langkah-langkah ini sejak Mac lagi. Insya-Allah jika kita terus amal, kita mampu melandaikan lekuk penularan COVID-19 ini sekali lagi.

“Justeru, kita kena saling bekerjasama sama ada rakyat mahu pun antara agensi kerajaan.

“Musuh kita adalah sama, jangan saling menyalah antara satu sama lain. insya-Allah kita boleh putuskan rantaian COVID-19 dalam negara,” ujarnya.

Katanya, peningkatan kes yang disebut beliau itu merujuk kepada peningkatan aktiviti pengesanan kes yang dijalankan pihak berkuasa dalam tempoh ini.

“Kalau kita jalankan aktiviti tersebut kita akan dapat kawal, tapi peningkatan kes juga akan berlaku kerana aktiviti kita.

“Kita akan asingkan yang dikesan untuk rawatan,” katanya.

Menurut beliau, sebuah kluster yang dilaporkan di Putrajaya tidak akan menyebabkan pusat pentadbiran itu bertukar kepada pusat penyebaran wabak itu. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.