SOP masjid, surau diperkemaskan

75

3 OKT: Kerajaan akan memperkemaskan semula prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau susulan peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan SOP baharu di masjid atau surau setakat ini tidak dibincangkan pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

“Tidak dibincangkan (mengenai SOP baharu di masjid dan surau), sekadar kita akan memperkemaskan SOP dan kepatuhannya,” katanya selepas menyempurnakan majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ sesi 2020 serta majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Mesyuarat khas MKN itu turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta menteri-menteri berkaitan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdahulu , Malaysia semalam mencatatkan 287 kes baharu COVID-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Sementara itu, pada majlis hari ini seramai 80 peserta kursus Perawatan Islam Darussyifa’-Darul Quran diraikan di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim.

Kursus Perawatan Islam adalah program kerjasama antara Darul Quran dengan Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’).

Zulkifli berharap dengan pengijazahan peserta itu dapat menjadi satu daripada penyelesaian kepada masyarakat yang buntu ketika mereka diuji oleh Allah SWT dengan kesakitan dan seumpamanya.

Beliau turut menasihatkan pengamal perubatan Islam juga perlu menjadi pendakwah yang ikhlas membawa pesakit lebih dekat kepada Allah melalui kaedah perawatan rukyah Islam.

“Terdapat banyak ajaran dan amalan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar bahkan bercanggah dengan akidah serta syariat Islam yang tidak berasaskan daripada sumber sahih.

“Jadi, inilah peranan dan tanggungjawab yang besar perlu digalas terutamanya para dai (pendakwah) dalam memelihara kesucian serta keagungan Islam bagi menjamin masa depan generasi umat Islam,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.