KPT mohon maaf atas kesulitan yang timbul

174

3 OKT: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memohon maaf atas kesulitan berhubung cadangan pendaftaran secara fizikal pelajar baharu dan lama di semua institusi pengajian tinggi (IPT) ditangguhkan serta-merta.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, cadangan ini dibuat susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu.

“Peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka. Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak Universiti.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Noraini memberitahu keputusan itu dikeluarkan selepas pihak Kementerian telah mengadakan perbincangan dengan semua pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.

Beliau berharap agar IPT dapat mengamalkan sikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini,” katanya- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.