Kes baru: Semalam 287, hari ini 317 dan tiga kluster

466

3 OKT: Jika semalam negara dikejutkan dengan 287 kes baru COVID-19, hari ini kes baru wabak itu terus melonjak dengan 317 lagi penularan dilaporkan.

Ini menjadikan angka harian yang dilaporkan hari ini yang tertinggi pernah dilaporkan sejak wabak itu mula dikesan di negara ini.

Kesemua kes baru adalah penularan dalam negara dengan 303 adalah rakyat Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan terdapat tiga kluster baru hari ini iaitu dua di Kedah, Bah Lunas dan Bah Ros manakala satu lagi di Selangor iaitu Kluster Jelok.

Sabah dan Kedah mencatatkan tiga angka dengan masing 155 kes dan 102 kes diikuti Selangor dengan 32 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 37 kes merupakan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September.

Katanya, keseluruhannya inidvidu yang dikesan positif setelah pulang dari Sabah dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak 176 kes.

Ujar beliau, Sabah mencatatkan 155 kes hari ini dengan 100 daripadanya kes saringan bergaja, diikuti 35 kes kluster Bangau-Bangau, 10 kes kluster Benteng LD, tiga kes Kluster Laut, dua kes kluster Joo Hwa, satu kes kluster Buang Sayang dan selebihnya saringan komuniti dan rujukan hospital.

“Kedah pula melaporkan 102 kes dengan 97 daripada kluster Tembok yang merangkumi banduan dan warden penjara. Dua lagi kes dari saringan pulang dari Sabah, dua kes dari kluster baru Bah Lunas dan satu lagi kluster Bah Ketil.

“Selangor pula melaporkan 32 kes dengan 15 kes daripadanya saringan pulang dari Sabah, diikuti 12 kes dari kluster Jalan Meru, tiga kes kluster baru iaitu kluster Jelok dan bakinya kontak rapat kepada kes positif sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, kata beliau, Terengganu melaporkan sembilan kes hari ini dengan tujuh kes saringan pulang dari Sabah, Kuala Lumpur (empat), Johor (empat), Sarawak (tiga), Pulau Pinang (tiga), Kelantan (dua), Putrajaya (dua), Negeri Sembilan (satu).

“Sehingga kini terdapat 29 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kematian berkaitan COVID-19 hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 137.

“Kes kematian ke-137 ini merupakan lelaki warga Malaysia berumur 57 tahun dan bergejala sejak 20 September dan dibawa ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau,” katanya.

Tambah beliau, trend kes baru COVID-19 didapati sama dengan semalam dan peningkatan ini antaranya hasil aktiviti tindakan kesihatan awam termasuk pengesanan kontak yang dilakukan KKM.

Katanya, pertambahan terbaru ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 meningkat kepada 12,088 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,735 kes dan mereka diasingkan serta diberi rawatan. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.