Wanita UMNO tolak usaha pecah belah parti

54

2 OKT: Pergerakan Wanita UMNO menolak sekeras-kerasnya cubaan pihak tertentu yang berusaha memecahbelahkan perpaduan parti itu dengan menularkan maklumat palsu di laman sosial kononnya terdapat seorang pemimpin wanita di peringkat bahagian akan meninggalkan parti terbabit.

Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata beliau percaya permainan kotor itu didalangi oleh pihak tertentu yang kecewa atas kegagalan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

“Kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah prinsip utama yang didukung Wanita UMNO Malaysia.

“Tidak sesekali perjuangan wanita UMNO mengkhianati parti, ahli parti dan rakyat walaupun pada waktu susah dan senang, justeru kita menolak cubaan pihak tertentu yang mahu pecah belahkan parti, ” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sebelum ini, terdapat maklumat yang tular di media sosial dengan menyasarkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Chaya Sulaiman, kononnya pemimpin itu akan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan maklumat yang tular itu turut mendakwa terdapat unsur sabotaj daripada BN sehingga menyebabkan kekalahan tipis Chaya dengan 10 undi kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Rina Jainal.

Berikutan itu, Chaya turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya akan meninggalkan UMNO dan BN dalam masa terdekat ini.

Mengulas lanjut, Norliza berkata pihaknya turut menafikan wujudnya unsur sabotaj dalam kalangan jentera BN, malah kekalahan tipis yang diperoleh sama sekali tidak akan mematahkan semangat perjuangan mereka.

Beliau berkata, kemenangan atau kekalahan dalam politik adalah adat dan rencam permainan strategik dan pihaknya sentiasa terbuka menerima hakikat itu.

“Saya ingin mengingatkan bahawa Wanita UMNO sentiasa reda di atas setiap perjuangan yang dilalui apatah lagi UMNO sudah melalui fasa kekalahan yang lebih teruk sebelum ini.

“Kita berjuang dengan niat yang ikhlas dan hanya orang yang kecewa dan iri hati sahaja menimbulkan polemik sedemikian.

Ini kerana mereka semakin menyedari kekuatan dan kegerunan ditunjukkan UMNO semakin terkesan, sekali gus membuatkan rakyat mula beralih dan meyakini semula parti keramat ini, ” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.