Tiada dwistandard pelaksanaan Tabika Kemas M40

100

2 OKT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi jaminan tidak wujud istilah ‘dwistandard’ dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sekiranya cadangan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) M40 dilaksanakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, proses itu meliputi modul, bahan pengajaran, kemudahan dan tenaga pengajar, seperti yang dilaksanakan di semua premis Tabika Kemas ketika ini.

Menurut beliau, ia masih dalam peringkat perbincangan dan kajian di pihak Kemas untuk dibentangkan di peringkat Kabinet.

ABDUL RAHMAN MOHAMAD
ABDUL RAHMAN MOHAMAD

“Kementerian mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak berkaitan cadangan mewujudkan Tabika Kemas untuk kumpulan M40.

“Cadangan ini adalah usaha kementerian menerusi Kemas untuk membuka peluang kepada ibu bapa M40 menghantar anak mereka, dalam menangani isu kuota kemasukan di Tabika Kemas sedia ada,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rahman memberitahu, tujuan asal pewujudan Tabika Kemas adalah menawarkan peluang pendidikan awal bagi masyarakat berpendapatan rendah pada 1970-an.

“Namun selepas hampir 30 tahun beroperasi, katanya, hasil kajian mendapati jumlah permohonan kemasukan semakin meningkat, terutama daripada kumpulan M40.

“Pihak kementerian akan mengenal pasti nama Tabika Kemas M40 yang sesuai selepas cadangan itu dibentangkan dan mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Beliau menambah, kementeriannya yakin masyarakat memandang tinggi terhadap keupayaan dan kemampuan dalam pengendalian operasi Tabika Kemas sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak.

“Buktinya, Tabika Kemas menerima dua kali Anugerah Jenama Paling Dipercayai dalam Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak oleh Reader’s Digest pada 2017 dan 2020.

“Ia menunjukkan Tabika Kemas adalah pilihan utama ibu bapa dalam memastikan anak mereka mendapat peluang pendidikan awal berkualiti,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.