Shafie yang minta bubar DUN, bukan PN/BN

2,682

2 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpandangan, adalah tidak adil untuk menyalahkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semata-mata berikutan peningkatan kes COVID-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) sepatutnya sedar bahawa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Sebaliknya, bekas Presiden UMNO itu memberitahu, PN dan BN memang tidak mahu PRN Sabah diadakan.

“PRN berlaku di sana selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH hilang kepercayaan pada Shafie and melompat ke golongan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman.

“Namun dengan majoriti jelas, Yang Dipertua Negeri Sabah enggan menerima Musa sampai ke tahap Musa dihalang masuk ke Istana Negeri,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, keadaan tersebut jauh berbeza dengan krisis politik di Melaka pada awal Mac lalu yang menyaksikan Yang Dipertua Negeri Melaka enggan mengikut nasihat Ketua Menteri untuk membubarkan DUN Melaka ketika kerajaan PH Melaka tumbang.

Sebaliknya, Najib menyatakan, Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut nasihat Mohd Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh dilaksanakan.`

Pada masa yang sama, beliau berkata, Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berpendapat, pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya adalah tidak perlu dan membuang masa dan wang serta memudaratkan nyawa rakyat ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19.

“Masa itu juga, pemimpin-pemimpin PH lain memuji ‘keberanian’ Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh berlangsung.

“Geng PH juga membantah arahan kuarantin dikeluarkan bagi mereka yang pulang dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan alasan bahawa ini akan melanggar demokrasi dan menakut-nakutkan pengundi,” jelasnya.

Najib berkata, akhirnya Mohd Shafie sendiri memohon maaf atas langkahnya membubar DUN dan melaksanakan PRN dengan alasan ‘warga Sabah berhak ada sebuah kerajaan yang bermaruah’.

Namun, beliau menaruh harapan terhadap kebolehan Kementerian Kesihatan dan kerajaan PN untuk mengawal COVID-19. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.