Saman PKR buang masa – Zuraida

203

2 OKT: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan PKR sebagai membuang masa mahkamah susulan tuntutan saman RM10 juta yang dikemukakan parti itu terhadapnya.

Zuraida yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyelar PKR dan berpendapat parti itu tidak memahami amalan demokrasi yang mana wakil rakyat bebas meninggalkan parti politiknya, malah dalam kesnya, beliau sebenarnya dipecat.

“Mereka boleh merujuk keputusan yang sudah dibuat Datuk Ong Kee Hui dan Nordin Salleh di Mahkamah Persekutuan, serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Mana-mana pelajar perundangan juga boleh menerangkan kepada kepimpinan PKR bahawa mahkamah tidak akan menguatkuasakan sebarang perjanjian yang melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.

Terdahulu PKR menyaman Zuraida RM10 juta susulan tindakan beliau meninggalkan parti itu ketika berlakunya krisis politik yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Saman berkenaan difailkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengikut syarat perjanjian antara parti itu dan Zuraida bertarikh 25 April 2018.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan PKR mengemukakan tuntutan tidak masuk akal itu ke mahkamah.

“Mereka ketandusan idea untuk meningkatkan kualiti rakyat, namun mereka bergantung kepada ‘sensationalism’ dan tindakan publisiti murahan,” katanya.

Zuraida berkata, beliau meninggalkan PKR kerana parti itu tidak lagi fokus terhadap kebajikan rakyat, tetapi kepada cita-cita untuk menaikkan seorang sebagai Perdana Menteri.

“Mereka mahu merebut kedudukan Perdana Menteri yang dapat dilihat seluruh negara sepanjang 22 bulan PH memerintah negara dan ketika pandemik COVID-19 melanda.

“Oleh sebab demikian, pendirian parti itu bertentangan dengan hati nurani saya.

“Mengenai saman sembrono itu, teruskan,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.