PRU-15: Tunggu lepas negara bebas COVID-19

128

2 OKT: Semua parti politik mesti akur dengan kehendak rakyat yang berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak boleh diadakan dalam masa terdekat memandangkan situasi COVID-19 masih belum reda.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, parti-parti politik dari Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya memikir soal berpolitik semata-mata.

“Saya secara peribadinya bersetuju dengan tinjauan pandangan dari netizen di media sosial yang lebih 80 peratus tidak bersetuju jika PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Oleh itu, saya menyeru parti-parti jangan pentingkan politik, sebaliknya utamakan nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur, hari ini.

annuar musa
Annuar Musa (paling kiri) menyaksikan penyerahan tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu di Menara DBKL, hari ini.

Dalam majlis itu, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan menyerahkan tugas kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mahadi Che Ngah.

Annuar menambah, semua parti politik harus bekerjasama dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mencari jalan mengatasi COVID-19 yang sudah mencapai tiga angka bagi kes positif semalam.

Sementara itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengakui sepanjang berada di Sabah mengendalikan jentera pilihan raya, berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Beliau memberitahu, kegagalan mematuhi SOP itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka dijangkiti wabak COVID-19 dan membawa pulang virus itu ke Semenanjung.

“Sepanjang PRN Sabah ramai tidak patuh SOP. Mereka pulang ke Semenanjung, kemudian menularkan wabak itu di sini.

“Oleh itu, kita perlu menjaga kawalan diri dan mematuhi SOP seperti membasuh tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.