MIC tangguh semua konvensyen negeri

58

2 OKT: MIC menangguhkan konvensyen negeri yang sepatutnya berlangsung di seluruh negara bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan berikutan penularan mendadak wabak COVID-19 kebelakangan ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, presiden parti, Tan Sri S.A. Vigneswaran telah mengeluarkan arahan mengenai perkara berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Hari ini, sepatutnya konvensyen MIC berlangsung di Perak, Kedah dan Perlis tetapi ia ditangguhkan. Kesemua mesyuarat di peringkat negeri dan pusat turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” kata Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Pembangunan B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka di Tapah hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan semua mesyuarat serta persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO ditangguhkan susulan peningkatan kes COVID-19 berkuat kuasa serta-merta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.