COVID-19: Kawalan sempadan Sabah lebih ketat

53

2 OKT: Agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut di Sabah bagi membanteras pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, arahan itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius tentang peningkatan bilangan kes COVID-19 yang tinggi dan membimbangkan di Sabah.

“Saya turut mengarahkan bilangan anggota dan operasi yang terlibat dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan PATI yang berkemungkinan membawa virus COVID-19 dan penyebarannya dalam kalangan rakyat tempatan dapat dikekang.

“KDN akan terus memantau perkembangan terkini di semua lokasi-lokasi panas yang merupakan titik pendaratan atau lorong-lorong tikus digunakan oleh PATI untuk menceroboh masuk ke dalam negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebanyak 260 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam di seluruh negara yang merupakan angka harian tertinggi dilaporkan untuk satu tempoh kebelakangan ini.

Daripada jumlah itu, Sabah dan Kedah mencatatkan angka tertinggi, masing-masing sebanyak 118 kes dan 98 kes yang turut melibatkan kluster baharu.

Keseluruhannya empat kluster baharu dilaporkan masing-masing satu di Kedah, Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan, Putrajaya.

Selain itu, 259 daripada 260 kes yang dilaporkan adalah penularan tempatan dengan sebanyak 31 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.