Anak Mat Sabu kemuka rayuan sabitan dadah

246

2 OKT: Anak Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang dipenjara lapan bulan selepas didapati bersalah kes penyalahgunaan dadah, merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Peguam Muaz Zafar yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 32, berkata, pihaknya sudah memfailkan notis rayuan tiga bulan lalu dan pada peringkat ini sedang menunggu nota keterangan serta alasan penghakiman daripada mahkamah yang menetapkan 13 November ini bagi pengurusan kes.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada prosiding pengurusan kes kali pertama di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Maryam Jamielah Ab Manaff.

Prosiding turut dihadiri Ahmad Saiful Islam selaku perayu, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi mewakili Pendakwa Raya selaku responden.

Pada 24 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara dan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin RM9,000 dan seorang penjamin.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di sebuah hotel di sini, pada jam 2.05 pagi 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 15 Oktober 2019, pendakwaan memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.

Anak bekas Menteri Pertahanan itu diperintahkan membela diri pada 2 Januari lalu dan memanggil dua saksi memberikan keterangan termasuk dirinya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.