89 orang ditangkap ingkar SOP PKP

44

2 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 89 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 77 individu telah dikompaun manakala 12 orang lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (30), penjarakan fizikal (29), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (14), langgar perintah PKPDB (10), aktiviti dalam pub/kelab malam (5), dan premis beroperasi tanpa lesen (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, dalam Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menangkap seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong.

Ismail Sabri memberitahu, mereka juga berjaya merampas sebuah bot dan enam kenderaan darat.

Menurut beliau, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,160 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Mereka mendapati 1,141 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 19 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.