Projek monorel diteruskan selepas tertangguh 16 tahun

306

1 OKT: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan meneruskan pembinaan monorel sebagai salah satu kaedah pengangkutan awam utama di Putrajaya selepas dihentikan pembinaannya selama 16 tahun.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya ada perancangan ke arah itu kerana perkhidmatan monorel melengkapkan sistem pengangkutan di awam di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan berkenaan.

Menurut beliau, pada masa ini, kementeriannya sedang melihat daripada pelbagai sudut serta cadangan menyeluruh agar kemungkinan projek ini dapat diteruskan secara kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

Annuar Musa
Annuar Musa dalam sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya, hari ini.

“Justeru, kita akan buat request for proposal daripada pelbagai pihak yang telah menunjukkan hasrat sebelum daripada ini kerana terdapat beberapa syarikat swasta yang menyampaikan hasrat terhadap projek ini.

“Malah ada syarikat yang dah bentang cadangan mereka. Kita masih terbuka dan memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang mempunyai cadangan bagi meneruskan projek ini dan kita ambil sedikit masa dalam masa tiga bulan untuk siapkan dokumen sebelum dibuka kepada penyertaan awam,” katanya pada sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya, hari ini.

Mengikut perancangan asal, monorel Putrajaya dicadangkan mempunyai dua aliran, satu aliran sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi aliran sepanjang 6 km dengan enam stesen.

Annuar menambah, hasil keputusan Mesyuarat Kabinet, pihaknya akan mengadakan kerjasama bersama Kementerian Pengangkutan bagi memastikan monorel ini bukan sahaja dapat dilaksanakan di Putrajaya malah akan disambungkan menerusi jajaran baharu terdiri Cyberjaya, Bangi dan Kajang.

Beliau memberitahu, perkhidmatan monorel itu akan melengkapkan sistem pengangkutan awam di Putrajaya yang dibangunkan dengan sistem infrastruktur ketika pembinaan dahulu, antaranya jambatan dan terowong.

“Jajaran asal dalam Putrajaya masih ditetapkan dan diuruskan oleh KWP manakala Kementerian Pengangkutan akan ambil tindakan susualan untuk rangkaian luar Putrajaya di mana mereka yang akan menghubungkan monorel Putrajaya ke Bangi, Kajang dan disambungkan juga ke Cyberjaya.

“Kos ini masih tidak dapat diberikan lagi kerana kos pembinaannya bergantung kepada teknologi dan prasarana yang diggunakan. Ada cadangan kita gunakan tayar getah supaya monorel ini tidak mengeluarkan bunyi bising.

“Jadi, biar mereka siapkan proposal dahulu dan kita akan tengok serta lihat. Selepas itu, pihak kementerian akan lakukan kajian teliti bagi memastikan teknologi mana yang sesuai digunakan untuk projek monorel di Putrajaya,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.