Patutnya serang PH, bukan gaduh sesama sendiri

768

1 OKT: Parti-parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti menghentikan pertelingkahan dan serangan sesama sendiri kerana perbuatan itu hanya memberi keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, serangan seharusnya ditujukan kepada pihak musuh dan bukannya sesama sendiri.

Menurut beliau, perbuatan menyerang sesama sendiri bukan sahaja menghilangkan keyakinan rakyat malah akan menggembirakan pihak lawan.

“Secara jelas, kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan atau individu dalam Bersatu-Perikatan Nasional (PN) atau UMNO-Barisan Nasional (BN) yang menggores hati dan perasaan masing-masing tidak melambangkan pendirian parti masing-masing secara keseluruhannya dan wajar dihentikan serta merta.

“Eloklah bermaaf-maafan dan buka lembaran baru untuk kerjasama PN dan BN yang lebih kukuh menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal tiba pada bila-bila masa dari sekarang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rafiq memberitahu, semua pimpinan PN mahupun BN juga dinasihatkan agar mengelakkan daripada berbalah secara terbuka sesama sendiri dalam media.

Beliau berkata, seharusnya apa yang perlu dilakukan adalah menggunakan platform dan forum yang betul seperti diskusi tertutup bagi menguruskan segala perbezaan pendapat.

“Segala usaha untuk memperkukuhkan kerjasama antara PN dan BN harus bermula dari sekarang dan bukan di saat-saat akhir.

“Usaha ini harus digerakkan dari peringkat pimpinan tertinggi parti sehinggalah ke peringkat bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah membuktikan formula kerjasama antara PN, BN dan PBS telah berjaya menumbangkan Warisan Plus.

“Sekiranya semua pihak ikhlas, bersatu hati untuk menjayakan usaha ini, berbekalkan sokongan tinggi rakyat Malaysia kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

“Insya-Allah, saya yakin dan percaya gagasan PN bergabung bersama BN akan berjaya menewaskan PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan cemerlang pada PRU-15 nanti,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.