Mesyuarat Perwakilan UMNO ditangguh serta-merta

249

1 OKT: UMNO mengarahkan semua Mesyuarat dan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian yang sedang berjalan ketika ini ditangguhkan serta-merta berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 kebelakangan ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat seperti mana arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad, Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berpandangan yang sama.

“Ini disebabkan kes COVID-19 yang mencecah kepada 260 pada hari ini, kedua tertinggi sejak penularan.

“Kita tidak boleh mengambil risiko dan kita tidak mahu UMNO dipersalahkan. Penangguhan ini adalah sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Arahan ini mestilah dipatuhi.

“Terima kasih atas kerjasama semua pihak. Keselamatan rakyat adalah tanggungjawab kita bersama,” kata Ahmad seperti disiarkan UMNO Online hari ini.

Mesyuarat dan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian dijadualkan dari 27 September lalu sehingga 15 November ini.

Sebelum ini ia telah ditangguhkan seketika bagi membolehkan jentera parti menumpukan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 yang berlangsung Sabtu lalu.

Mengikut kenyataan sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan berlangsung 25 hingga 28 November ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.