Lantik wakil PAS jadi ADUN lantikan Sabah

208

1 OKT: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, percaya seorang wakil PAS bakal mengisi salah satu daripada enam individu bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, tidak lama lagi.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata dua lagi ADUN akan dilantik dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah dan masing-masing seorang dari Parti Pribumi Rakyat Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh juga berharap salah seorang daripada ADUN dilantik berkenaan adalah dalam kalangan wanita.

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA

“Saya percaya seorang wakil PAS akan mengisi satu daripada enam ADUN dilantik. Mungkin dua lagi dari UMNO, tiga lagi dari PBS, STAR dan Bersatu. Apapun saya ingin melihat ADUN wanita dilantik,” katanya dalam ciapan Twitter.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu Terengganu mencadangkan agar kerajaan baharu Sabah melantik wakil pemimpin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti PAS menganggotai Kabinet negeri itu.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, ia sebagai tanda penghargaan kepada parti itu yang melakukan pengorbanan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.