Exco Kedah positif, Melaka pula batal program Exco

142

1 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan seorang exco kerajaan negeri tersebut yang sebelum ini pernah ke Sabah ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) itu bulan lalu didapati positif COVID-19.

Pengarahnya, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, exco itu sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut mulai semalam.

“Jabatan Kesihatan sedang mengesan kontak rapat exco berkenaan termasuk anggota keluarganya dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Setakat ini, hanya exco berkenaan sahaja yang disahkan positif wabak itu dan tiada exco lain yang dijangkiti,” katanya.

Difahamkan exco itu juga adalah kontak rapat kepada pembantunya yang turut disahkan positif COVID-19 kelmarin.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiga exco tidak menghadiri mesyuarat kerajaan negeri kerana menjalani kuarantin di rumah.

Pada masa sama, sebuah sekolah rendah di Penaga, Seberang Perai ditutup selepas seorang guru didapati positif.

Guru berkenaan adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang positif selepas pulang dari Sabah.

Sementara itu di MELAKA, segala program melibatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan serta semua Exco kerajaan negeri ditangguhkan serta-merta sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan terdapat kes positif COVID-19 di negeri berkenaan.

Menurut Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan hari ini, selain itu, perjumpaan yang melibatkan Ketua Menteri Melaka di Pejabat Ketua Menteri Melaka juga ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta.

Kenyataan itu menyebut, orang ramai yang mahu berurusan di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, mahupun pejabat-pejabat kerajaan lain, mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Mengenai gambar yang tular mengenai proses disinfeksi yang dilakukan di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, ingin ditegaskan bahawa ia adalah proses berkala yang sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan laporan-laporan yang ditularkan di media sosial, sebaliknya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Sarawak hari ini mengambil keputusan melarang kemasukan, warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang berada di Sabah dan Labuan mulai 4 Oktober hingga 18 Oktober.

Timbalan Ketua Menteri 1 Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini berkata, hanya rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan balik, tetapi perlu memohon melalui aplikasi dalam talian EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan elektronik.

“Mereka (rakyat Sarawak yang balik dari Sabah dan Labuan) akan dikenakan (menjalani) kuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR (Real Time Polymerase Chain Reaction) COVID-19 pada hari kedua dan ke-10,” katanya pada sidang media harian COVID-19 Sarawak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.