Duduk rumah jika tiada urusan – KP Kesihatan

286

1 OKT: Dengan peningkatan mendadak kes harian COVID-19 hari ini yang kedua tertinggi sejak wabak itu dilaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta rakyat Malaysia untuk duduk rumah jika tiada urusan penting .

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, namun jika masih perlu berada di luar rumah maka pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka adalah satu kemestian.

“Ada antara kita mungkin penat mematuhi SOP tetapi virus ini tidak pernah ‘penat’. Kalau kita leka, ambil mudah atau menganggap keadaan sudah kembali normal, itu satu kesilapan yang besar.

“Ketidakpatuhan kepada SOP sama ada oleh rakyat atau petugas maka jangkitan akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Mengenai penularan di Selangor yang mencatatkan kebolehjangkitan yang tinggi, Noor Hisham berkata, ia disebabkan kepadatan penduduk yang tinggi walau jumlah kes tidak setinggi Sabah.

Maka, katanya, tindakan KKM adalah aktiviti kesihatan awam seperti mana dilakukan sejak sembilan bulan lalu yang berjaya menamatkan 100 kluster.

“Sekarang kita ada 24 kluster lagi dan peperangan masih berjalan. Peperangan kita ini ada tiga fasa. Pertama masa PKP yang mana semua dikehendaki duduk di rumah sehingga berjaya ratakan lengkungan penularan.

“Setelah itu kita buat PKPB dengan aktiviti ekonomi dibuka tetapi masih kawal aktiviti sosial. Setelah turun kepada satu digit, dua digit kita perkenalkan pula PKPP.

“Menerusi PKPP kita ambil kira antara nyawa dan kehidupan apabila banyak sektor kembali dibenarkan. Cuma tempoh PKPP ini satu saja kita perlu dari rakyat iaitu kepatuhan kepada SOP,” jelasnya.

Tambahnya, dengan kawalan sempadan diperketatkan dan kepatuhan SOP, beliau percaya penularan kes baru COVID-19 mampu dibendung dalam tempoh PKPP ini.

“Patuh SOP, insya-Allah kita boleh kawal jangkitan. Peningkatan kes bukan hanya negara kita, negara lain pun sama.

“Salah satunya kerana ada mutasi, kedua musim sejuk makin dekat dan ketiga negara yang mencapai penanda aras juga hadapi masalah kes naik mendadak,” katanya, – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.